Menunggu pada malam yang gelap. Umpama mimpi yang tidak bertali. Bukan menggantung angan pada puncaknya. Hanya membenam luka yang amat dalam. Di situlah tandusnya impian, gersang bersama derai pasir yang menahan bahang sang mentari. Tiada subur hanya rindu yang terkubur. Bilakah siang itu indah pada irama warnanya sang pelangi? Menanti pasti kicau burung menerjah lubuk hati, mengicau jawapan…. Tiada tuntas..
Merenung mata mega yang merah. Hanya terlihat pangkal jalan yang makin pudar di telan gelap. Tersandar dipukul ombak nyata. Tiada dermaga untuk berlabuh. Laut memuntahkan derita pada geloranya. Terhempas pada rakusnya si gelombang maka turun dan naiklah getar nafas si pelayar. Sudah di penghujungkah kembaranya? Atau sudah tiadakah lagi buatnya kasih gelora? Atau berangkah ribut hingga tiada maaf yang menjadi mahar penebusnya?
Namun, kisah hati tiada mudah di mengerti. Gejolak jiwa menelan malam dan siang. Rapuh semangatnya bagai menggoncang lautan. Kuat rindunya mengingatkan si pelayar rona hitam dan putih kasih gelora laut. Pertaruhan apakah yang menjemput hibanya hilang? Saat patah itu tiada gantinya lagi. Bagitu suci! Begitu ikhlas! Begitu Murni! Namun, bertahankah waja saat api menjamah tumpat? Di mata tulus, tiada api yang bisa mengukir nafi. Lihat tingkah mata hati. Bertingkah dalam madah walau pujangganya di hadam hempedu. Pahit!
Gusar bintang katanya mahu bercahaya. Bukan takut dek bulan, namun gentar pada pungguk yang merindu bulan. Resah andai cahaya tiada terlihat di mata si pungguk. Gelisah malam dan kelam saat bulan menyepi diri menghiris jiwa pungguk yang merindui. Bintang mula menyala malap, menggumam pepatah bahasa. Mentafsir bingkisan takdir yang tertinta. Pungguk mula bersiul hiba. Tangisnya mula menyentak bintang dalam sengketa. Tidak cukupkah sinar malamnya? Tidak indahkah malam dengan hadirnya? Dia lupa. Dia alpa. Pepatah nyata bukan jodoh. Pepatah juga bukannya takdir. Saat dua menjadi satu, ia tetap satu. Dia terlepas pandang pada sayang pungguk. Lara…
