Feeds:
Posts
Comments

Sahabat vs Sahabat

“Tidak dapat di nafikan bahawa dalam kehidupan kita ini, kita tidak pernah lari dari erti sebuah persahabatan. Betapa indahnya persahabatan itu sehingga Saidina Abu Bakar sanggup membiarkan ular mematuk kakinya dari membiarkan Rasulullah terjaga. Aku akui ada di antara kita yang tidak sedar akan betapa pentingnya bagi kita untuk menghargai sahabat-sahabat yang ada disekeliling kita. Ada juga yang menyalah ertikan persahabatan hingga usai ditelan hasad. Sahabat yang sejati itu adalah sahabat yang sentiasa berada di sisi tidak kira suka atau pun duka. Berkorban demi sahabat dan menyintai sahabatnya. Menjaga nama baik sahabat dan tidak meninggalkannya dalam derita. Pengertian yang perlu untuk kita nilai bersama-sama. Siapakah kita tanpa sahabat? Mungkin ada antara kita yang merasa tanpa sahabat kita juga boleh hidup. Jangan lupa bahawa Adam turut sunyi tanpa Hawa. Terlalu besar kiranya kita ingin membuah bicara mengenai persahabatan. Terlalu dalam jurang yang memisahkan persahabatan dan percintaan. Bukankah molek untuk kita hiasi persahabatan yang kita ada dengan keikhlasan dan ketulusan hati kita. Menitis pasti air mata andai kita dikhianati oleh sahabat sendiri. Siapakah mereka itu sehingga kita sanggup menangis demi mereka? Itulah bukti betapa berertinya sahabat pada diri kita. Di saat kita terluka kerana cinta, sahabat yang sanggup mendengar rintihan dan bahu mereka menjadi tempat jatuhnya air mata kita. Saat berlakunya konflik dalam keluarga, sahabat yang hadir sambil meniti di bibir mereka nasihat yang bererti. Di saat kita didusta oleh sahabat pun, sahabat jua yang berkongsi segala-galanya. Hidup ini perlu seimbang. Memberi dan menerima. Sayangilah sahabat selagi mereka masih ada. Persahabatan itu indah andai kita jujur dalam bersahabat.”

“Sahabat, engkau ketawa apabila aku mengangis,

Engkau tersenyum apabila ku bermuram,

Engkau menangis di saatku gembira,

Engkau bermuram saatku tersenyum,

Hingga aku menjadi benci dan berlalu pergi..

Namun tanpa aku sedari, engkau ketawa diwaktuku mengangis kerana engkau mahu aku bergembira dan melupakan duka, engkau tersenyum waktuku bermuram kerana engkau mahu  aku mengukir senyuman. Aku tampak manis dalam senyuman. Engkau menangis di saatku gembira kerana engkau terlalu gembira untukku dan engkau bermuram diwaktu aku tersenyum kerana engkau bimbang aku hanyut dalam dunia gembiraku hingga alpa pada hakikat kehidupan yang ada turun naiknya.. aku terharu sahabatku.. Aku menginsafi kekhilafan diri.

Demi Masa

Hari ini genap umur aku 21 tahun 2bulan.. Menghitung-hitung perjalanan selama 21tahun hidup.. Terisikah? atau kosongkah? Kadang-kadang aku terasa hidup ini berlalu dengan begitu cepat. Tidak banyak yang dapat aku lakukan.. Tapi, Allah itu memberikan masa dan detik sama pada setiap insan..

Bila aku memandang mereka yang memperoleh banyak benda dalam usia aku juga.. Aku terasa dalam kerugian yang melampau.. Masa aku dan mereka sama.. Tapi, mereka memperoleh lebih dari apa yang aku ada.. Mula menerjah ruang masa yang pernah dilewati.. Aku terkesima.. Aku sudah terlalu banyak membazirkan masa..

Aku duduk lagi sejenak.. Mengira-ngira apa yang aku ada..

Tidak banyak.. Hanya secangkir ilmu di dada.. Hanya secebis pengalaman.. Hanya sekilas kejayaan..

Perlu melakukan sesuatu untuk mengisi ruang, masa dan peluang yang masih diberikan oleh Sang Pencipta.. Yang sudah berlalu tidak boleh ditebus.. Hanya bisa menggunakan sepenuhnya yang ada dalam genggaman agar tidak terus dalam kerugian..

Allah sudah berbicara:

Demi masa..

Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian..

Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh..

Dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran..

Dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran…

(Surah Al-’Asr)

Aku, AEDES dan Denggi..

Aku baru sahaja sihat selepas hampir dua minggu terlantar kerana dihidapi demam denggi.. Memang azab dan sengsara sangat semasa aku kena denggi.. Sendi-sendi badan semua sakit-sakit.. Seram-seram sejuk.. Kepala pening, mata rasa macam nak terkeluar jer.. Hilang selera makan.. Muntah-muntah..  Gusi berdarah bila gosok gigi.. Inilah yang aku hadapi hampir dua minggu kene denggi ni..

Tapi, aku masih bernasib baik sebab ada family dan kawan-kawan yang banyak membantu menjaga aku sepanjang masa yang getir ini.. Jadi, aku hendak beri nasihat sket kat kawan-kawan kalo demam dah dua hari tah baik-baik tuh baiklah pergi check darah dengan segera. Macam aku dah demam 5hari baru tau aku denggi rupenye..Doktor kate takut effect hati kalo lambat..

Thanks again korang yang banyak membantu.. Memberi sokongan moral dan fizikal.. Semoga tuhan membalas jasa kalian..

Walaupun aku cuma kene masuk wad dua hari jerk, tapi aku rasa macam dua minggu.. Bosannyalah kat wad tuh. Memang kalo boleh, sumpah aku tak nak masuk lagi dah.. Dah le 1 hari sampai 5 kali amek darah.. Lebam-lebam bekas amek darah kat tangan aku nih tak hilang lagi..

Air masuk dekat 10botol.. Tapi, Alhamdulillah lah, selepas hampir dua hari, platlet darah aku naik dekat 200 lebey.. Pastuh aku pun di discaj.. Hehe..

Seronok sangat rasa sihat.. Sebab itulah Tuhan kasi kita rasa sakit sebab barulah kita akan sedar betapa nikmatnya kesihatan yang diberi olehNya kepada kita.. aku bersyukur kerana aku masih diberi kesempatan untuk merasa lagi nikmat sihat itu..Alhamdulillah..

p/s: Kalo kene denggi..minum air banyak2.. Dapat tegok 100plus banyak2 lagi bagus.. Hehe..

Debat itu Cinta..

Aku masih ingat kali pertama aku jatuh cinta padanya.. Tutur katanya penuh hikmah. Lenggok badannya penuh gaya.. Buah fikirnya menggoncang dada..

 

Aku masih ingat kali pertama aku memandang erti sebuah perjalanan. Aku menapak penuh keazaman. Aku resah andai sehari tiada kata yang aku dengari. Aku gundah andai tiada persoalan membakar diri ini. Aku terus mencari..

 

Aku masih ingat kali pertama aku mendengar usapan syahdu sebuah seni. Aku memberani diri bangkit dari belenggu diri. Ucapannya menikam dalam. Pandangannya melayang pandang. Aku gumam diam..

 

Aku masih ingat kali pertama aku menyelam duga lautan ilmu terbentang. Aku mengutip tiap titik tinta emas yang menitis. Aku dahagakan kemewahan pengalaman yang mencurah.. Aku genggam dendamku pada rintang yang menghalang..

 

Aku masih ingat lagi kali pertama suara ini bergema. Memecah ruang malam yang tenang. Senda gurau saudara menggilap gusar pagi yang mula bertandang.. Aku meriba bahagia pada luas ilmu yang semakin mendamba..

 

Hingga hari ini aku masih ingat lagi.. Suara-suara saudara yang mengajarku erti sebuah seni.. Yang memerlukan kecekalan hati.. Meruntun hati dan nurani untuk terus berani membakar juang diri.. Bukan pingat yang dicari..tetapi tentang keikhlasan sebuah hati yang cekal berdiri demi sebuah seni yang dihormati..

 

Hingga hari ini, banyak juga air mata gugur..dalam suka dan duka mencari erti sebuah seni.. Jatuh bangun hukum kedewasaan. Bertelagah dengan masa dan kepentingan hanya kerana aku mendamba seni ini.. Terlalu pantas masa berlalu.. Namun aku masih kaku..

 

Hingga hari ini, tiada aku kira luluh atau teguh hati yang memayungi.. Kerana cinta aku pada seni ini.. Aku abdikan diri.. Pahit aku telan..duka dan luka aku rawat..Kerana cinta aku pada seni ini..

 

Hingga pada hari ini..aku masih lagi seperti kali pertama dulu.. Sebagai tubuh yang mencintai seni ini.. Jiwa yang hidup kerana menyayangi seni ini.. Aku sendiri tidak mengerti, apakah uggulnya seni ini hingga aku masih seperti ini hari ini..

 

Cuma yang aku pasti..kecintaanku pada seni ini adalah datang dari hati.. Biar panjang nafas ini andai aku masih bisa mendengar seninya, andai aku masih bisa memandang dramanya walau bukan diriku disana..

 

Percayalah..bagi insan yang masih kerdil dalam seni ini.. Cinta pada seni itu milik setiap jiwa yang menyintainya.. Bukan pada nama..tapi pada semangatnya yang masih membara..biar waktu tiada tersedia..menanti kunjung tiba..

 

Semangatnya untuk mencari..

Semangatnya untuk menghargai..

Semangatnya untuk mencintai..

Walau dengan cara sendiri..

Aku akan terus begini..menyintainya biar tidak disedari..

Aku pasti..semangat ini sentiasa menyala dalam hati..

Hujan

Hujan sudah mula merintik… Basah dedaun pohon pada mekar bau sang mergas tua,

Hujan sudah mula merintik… Menyubur kontang tanah mendamba bugar embun,

Hujan bukan lagi merintik…Deras lagunya gema syahdu pada malap semesta,

Hujan bukan lagi merintik…Linangan kaca langit tersimbah menjalari keruing dahan,

Hujan tidak lagi merintik…

Hujan bukan lagi merintik…

Sempurna cahaya terang kilau riak air menitik,

Mengemudi unggas bersiul menatap cerah mega ria,

Membalas rindu si tua tentang nikmat kasih hangat,

Pada lakaran debu siang hingga ukiran pujangga malam,

Kisah ini belum terbuku,

Kisah ini betalu tamu,

Mengusap syahdu kasih dan rindu…

Rindu Aku..

Rindu itu telah lahir..berputik mencambah benih rasa,

Aku termangu..keliru..ragu,

Menanggung kata menzahir ucapan,

Rindu itu berdetik lagi..tetapi pada hati beku,

Aku berteleku..kelu..sayu..

Membalam jiwa mengisik cerita,

Rindu itu bertandang lagi..tetapi pada canggung janji,

Aku berkabung..menyanggah derita rindu ini..

Tersurat rindu itu padanya..

Namun tiada terbit pada getar asa ini…

 

Itukah dia?

Bertingkah,

Bermadah,

Berpatah,

Bertitah,

Setiap lagu azimat pendam tak bebalam…

Gundah,

Resah,

Lelah,

Rebah,

Himpun deru hikayat raja duka terpendam…

Rindu,

Syahdu,

Sendu,

Kaku,

Mulus sirna pd tenang semadian kasih terpasung..

Melukis riak hidup pd kertas belas terbatas…

Mewarna debu hangat padang pasir tersisih…

Kerana warnanya kosong dibawah mentari,

Sinarnya hilang dikalung jerlus gurun mimpi,

Berhikmat nikmat dingin air mengalir,

Membasuh hiba menyingkir luka…

Pada makrifat Sang Pencinta di tapak kakiNya..

All right reserved. Copyright controlled.2009

Apabila wanita bercakap tentang bola.. Ramai orang akan menyangka wanita menonton bola kerana wanita-wanita ini suka dengan pemain2 yang mempunyai rupa paras yang tampan dan menarik.. Ramailah lelaki yang mempunyai pemikiran skeptik terhadap golongan wantia ini. Aku akui, memang wanita ini suka ‘mengusha’ mamat2 handsome dalam sukan yang bernama bola sepak ni. Nama2 pemain seperti Beckham, Kaka, Cristiano Ronaldo dan Owen menjadi buah mulut golongan hawa ini.  Tetapi, itu bukan alasan untuk mengetepikan pendapat mereka dalam menilai sesebuah permainan. Tapi itu adalah lumrah. Manusia berlainan jantina. Andai bola jaring diibaratkan seperti bola sepak.. Adakah lekaki2 yang menonton hanya akan menilai permainan itu semata-mata? Fikirlah sendiri.

Menyaksikan perlawanan selama 90 minit dan bersorak apabila pasukan yang disokong menang, perasaan ini masih sama. Seperti juga kaum adam. Bersekang mata dilewat2 pagi untuk menonton perlawanan bola sepak..juga masih sama seperti kaum adam. Pada pendapat aku, yang masih hijau ini, aku menilai perlawanan itu dari pelbagai  sudut. Satu persatu aku pelajari dari mereka yang lebih mengetahui dan mendengar ulasan tentang permainan tersebut. Bola sepak bukanlah sukan yang hanya mempertaruhkan kehebatan pemain, tetapi juga kebijaksanaan pengurus pasukan, etika pengadil dan yang terakhir adalah tuah. Pasukan yang mempunyai pemain2 hebat pun boleh dikalahkan..

Bola sepak umpama sebuah drama yang dipentaskan dihadapan berjuta penonton.. Kesudahan sesebuah drama itu ditentukan dengan keputusan perlawanan. Pada aku, kepuasan menonton perlawanan bola sepak bukan hanya terletak kepada kemenangan pasukan. Tetapi juga kepada mutu dan kualiti permainan yang ditunjukkan. Kalau menangpun tetapi mutu permainan tidak memuaskan hati aku, aku akan menganggap itu hanyalah tuah yang menyebelahi. Tetapi ini pendapat aku yang masih hijau ini secara peribadi..

Banyak lagi yang aku perlu gali untuk lebih memahami seni sebuah drama yang bernama bola sepak ini. InsyaALLAH, aku akan mengupas sedikit demi sedikit mengikut pemahaman aku yang masih cetek ini. Bahagian akan datang..aku akan berkongsi sedikit tentang pemain yang aku ’salute’ dalam arena bola sepak ini..hehe.. Jumpa lagi.. P/S: Kepada yang hendak berkongsi pendapat, jgn malu2 nak  mengomen..hehe

 

 

Berakhir..

menanti tiada pasti,

bagai lentera malam keruh,

entah bila padam sumbunya,

terpadam dengan luka,

tersimbah coretan pilu,

pada debu dinding lentera,

berharap pada malap cahaya,

mengulit waktu bilakah terang?

beranikmasi pada hiba,

bersandiwara pada bahang pandang,

menghukum bayang suka berkelana,

tiada kelam duga yg panjang,

menjamu tandang akhir cerita jiwa,

menoleh nyata mimpi diri,

berpenghujung tiada temu,

terbuka dada lasykar cinta itu,

memutus perang dua langkah kaku,

terhenti..

saat tiada meluru peluru rindu,

tiada bergetar juang hati,

saat senjata hakikat membunuh sangsi,

tersedar tiada laungan cinta,

walau pada waktu yang lalu,

tersedar tiada berpenghuni laman jiwa,

walau wangi kuntum korban,

tersedar semuanya berakhir..

saat harapan sudah berkapan,

berliangkan tanah kerinduan,

bernisankan kenangan,

terkubur meniti bujur kaku cerita ini..

All right reserved. Copyright controlled.2009

Apabila kita sentiasa meniti gembira. Kadang kala kita terlupa untuk menoleh sebentar sisi duka yang sentiasa akan menanti kita. Sewaktu kita bergembira, semua perkara dirasakan indah. Semuanya dirasakan bahagia. Kita sangka semuanya akan berkekalan selamanya. Ikatan yang terjalin tampak teguh dengan limpahan kasih sayang. Hati berbunga-bunga dengan pujian yang melambung tinggi. Indahnya hidup bagai tidak mahu ia berakhir.

Apabila hati sudah mula membenci. Tiada lagi kasih dan sayang yang dapat dicurahkan. Hanya kesangsian menyelubungi perasaan. Yang terluka terus terluka. Rajuknya tidak membawa ceria. Yang meluka, terus meluka. Tiada lagi titip kata yang membunga hati dan naluri. Bertakhta lah duka terpinggirlah ceria dan bahagia.

Apabila hidup sudah mula berduka. Segala yang manis dan indah hanya tinggal sinis dan gundah. Derita menyelinap memayungi kesuburan sebuah gembira. Gempita beralun gema tomahan dan hinaan hingga merobek pertimbangan.

Apabila telah lama berduka. Baru mula ingin menghargai kebahagiaan lama. Andai bisa diputarkan masa, mahu dipersembah kata pujangga mencamtum kembali dua hati yang terpisah kerana benci. Baru mula kehilangan pertemuan yang berpaling kerana keegoaan. Mahu kembali kepada masa lalu. Mahu mejaga setiap yang pernah wujud bagai menatang penuh rasa sayang dalam dulang perhubungan.

Bermaknakah duka yang dilalui andai dengan melaluinya kita dapat menghargai apa yang kita ada? Atau mungkin duka itu sudah terlalu terlewat untuk menjadi pengubat merawat luka? Apakah erti suka selama ini andai duka terus menjadi penamat?

Berharap agar duka ini akan bermakna apabila menjemput damai pulang kembali..

Sama-sama kita renungkan…

Older Posts »